Your Ad Here
Al Jazeera | Animal Planet | Bloomberg UK | Bloomberg US | C-Span | DWTV | France24 | HudaTV | Islam Channel | Peace TV | Sky News UK | Dewan Rakyat | LIVE DEWAN RAKYAT dibawakan khas, jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang Isnin hingga Jumaat.
This is the 2nd version of infoKu. You can view our previous post by visiting our infoKu v1.0

Taukeh
-Mohd Refezal bin Mohd @ Anan
-Universiti Malaya
-Kejuruteraan Komputer

Krew Pena
-Muhammad Syakir bin Zakaria
-Universiti Malaya
-Kejuruteraan Mekanikal

-Muhammad bin Mohamed Kamil
-Royal Melbourne Institute of Technology
-Ukur Bahan

26 September 2009

Perbuatan Zahir dan Suasana Hati

SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.

Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:



“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )

Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.

Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.

Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.

Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.

Apabila rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.

Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.

Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.

Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:


Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.


“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”
( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )

Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan. Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.

18 September 2009

Setitis Tinta

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan alam ini dengan penuh hikmah. Sungguhpun Allah menjadikan kesusahan hidup itu sebagai sunnah-Nya, namun jangan dilupakan akan janji-janji Allah untuk memberi syurga kepada orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada-Nya. Pada kesempatan ini, saya ingin memohon seribu satu kemaafan kepada semua yang mengenali diri ini sempena hampirnya menjelma Syawal yang ditunggu-tunggu oleh seluruh ummah. Sungguhpun pemergian Ramadhan sesuatu yang tiada gantinya namun bermulanya syawal merupakan satu lembaran permulaan yang baru bagi meneruskan perjalanan yang amat jauh bagi kita semua dalam mencapai wawasan hidup dunia dan akhirat. Saya ingin memohon maaf kerana saya selaku salah seorang panel yang menulis dalam blog ini tidak begitu aktif pada sebelum ini. Namun, bermulanya lembaran baru ini, saya akan menulis usul-usul yang berkaitan dengan tasawwuf yakni akhlak atau penghayatan mendalam kepada erti tauhid itu sendiri. Begitu ramai manusia mampu menuturkan Allah itu maha adil namun berapa ramaikah pula yang mampu menghayati dan menerimanya dengan sepenuh hati. Hakikatnya, manusia itu kebanyakannya masih menaruh prasangka terhadap penciptanya sendiri yakni Allah s.w.t. Perkara inilah yang saya akan berikan perhatian dan akan membuat sebaik mungkin bagi memberi pemahaman yang sebenar kepada para pengunjung blog ini. Apa mungkin syurga itu menjadi milik kita jika jiwa ini masih belum lagi disucikan dengan erti kata yang sebenar. Fikir-fikirkanlah buat semua. Akhir kata, saya memohon agar usaha-usaha dakwah seperti ini sentiasa diberikan sokongan oleh semua yang bergelar muslim. Saya sekali lagi memohon kemaafan kepada semua yang mengenali diri ini. Semoga sisa-sisa perjuangan ini dimanfaatkan sepenuhnya. Assalamualaikum dan selamat Hari Raya Aidilfitri.

12 September 2009

Panduan Iktikaf


1. Definisi

Bahasa : Iltizam ( komitmen) dalam melakukan sesuatu pekerjaan

Syarak : tinggal di masjid/surau yang dilakukan orang tertentu dengan niat yang tertentu. Niat tersebut adalah mendekatkan diri kepada Allah.

2. Hukum Iktikaf

Hukum Iktikaf adalah sunat. Ibnu al-Munzir menyebut : “para ulama bersepakat bahawa iktikaf adalah sunnah kerana Nabi SAW melakukannya dan melaziminya, isteri-isterinya juga ikut melakukan iktikaf bersamanya dan melakukannya setelah wafat”. Iktikaf menjadi WAJIB jika bernazar.

Nabi beriktikaf setiap bulan Ramadhan selama 10 hari dan pada tahun kewafatan baginda selama 20 hari. ( Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah)

Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

3. Waktu Iktikaf

* Boleh dilakukan sepanjang masa dan waktu. Masanya boleh satu hari tanpa malamnya atau satu malam tanpa siang. Dalam mazhab Hanafi dan Maliki yang meletakkan puasa sebagai syarat sah iktikaf menyatakan waktu yang pendek di dalam melakukan iktikaf adalah satu hari.
* Iktikaf bagi orang yang wajib ikut masa yang dinazarkan.

4. Syarat-Syarat Iktikaf

* 4 syarat utama iktikaf iaitu niat, tinggal (duduk ) di dalam masjid, orang yang beriktikaf Islam, berakal, suci dari Haid dan nifas dan berjunub, di masjid . Masjid Jami adalah awla (utama) dilakukan iktikaf. Ini disyaratkan oleh Az-Zuhri dan As-Syafie ( Qaul qadim).
* Bagi wanita hendaklah meminta izin suaminya, manakala hamba meminta izin dari tuannya.
* Ulama berselisih pendapat dalam mensyaratkan puasa sebagai syarat sah iktikaf tetapi majoriti ulama menyatakan ia bukan syarat sah iktikaf. Disunatkan puasa ketika beriktikaf berdasarkan Nabi SAW beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan.

5. Masjid yang sah dilaksanakan Iktikaf

* Menurut Hanafi, Ahmad, Ishak dan Abu Tsaur : Masjid yang sah dibuat iktikaf adalah yang dibuat solat lima waktu dan didirikan jamaah.
* Malik, Syafie dan Daud pula mengatakan sah dibuat iktikaf pada setiap masjid tanpa membataskannya. Tetapi mengikut pandangan As-Syafieyyah, lebih afdal atau utama di masjid Jami ( dibuat Jumaat).
* Isteri nabi SAW melakukan iktikaf di masjid Nabawi.
* Ulama bersepakat lelaki beriktikaf di masjid manakala bagi wanita berlaku perselisihan pandangan dikalangan para ulama.
* Orang yang bernazar tidak boleh niat iktikaf pada masjid tertentu kecuali pada Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.

6. Waktu Mula dan Akhir Iktikaf

* Siapa yang bernazar untuk melakukan iktikaf selama satu hari atau beberapa hari atau melakukan iktikaf sunnah, hendaklah dia masuk sebelum terbit fajar kemudian keluar apabila matahari tenggelam.
* Jika bernazar iktikaf satu malam atau beberapa malam, maka hendaklah ia masuk sebelum matahari tengggelam semuanya kemudian keluar ketika terlihat fajar terbit.
* Jika nazar iktikaf selama sebulan atau iktikaf sunnah, maka awal bulan adalah awal malamnya. Dia masuk sebelum matahari tenggelam semuanya dan keluar apabila matahari tenggelam pada akhir bulan tersebut.
* Di bulan Ramadhan pada 10 terakhir , maka dia harus masuk sebelum tenggelam matahari pada malam kedua puluh satu. (riwayat Mazhab Hambali), Riwayat kedua setelah solat Subuh.Ibn Hazam pula menyatakan sebelum tenggelam matahari pada malam 19 Ramadhan. Semuanya harus keluar setelah tenggelam matahari pada akhir ramadhan.

7. Perkara-perkara sunat dan makruf ketika iktikaf

* Mazhab Syafie : orang yang beriktikaf sebaiknya menyibukkan diri dengan pelbagai ketaatan kepada Allah seperti solat, zikir, tasbih, membaca al-quran, menyibukkan diri dengan ilmu, mengajar, belajar, menelaah dan menulis buku ( berdakwah). (Kitab al-Majmuk)
* Ibn Qudamah di dalam kitab al-Mughni pula menganjurkan supaya dikerjakan solat, tilawah Quran, zikir dan ketaatan mahdhah. Ada pun mengajar al-Quran, ilmu, diskusi dan belajar bersama fuqaha, menulis hadis dan lain-lain yang bermanfaat tidak digalakkan. Ini juga disokong oleh pendapat Imam Ahmad.
* Pandangan yang kuat dalam masalah ini ialah menyibukkan diri dengan ibadat seperti solat, zikir, membaca al-Quran, memikirkan akhirat dan persoalan agama, doa dan istighfar.
* Dibolehkan kita melakukan hal-hal yang bermanfat kepada orang lain seperti mengajar, berdakwah, diskusi atas untuk keperluan selebihnya kembali kepada konsep asal iaitu menyibukkan diri untuk beribadah.
* Makruh di dalam beriktikaf seperti melakukan hal-hal yang tidak perlu sama ada berupa perkataan atau perbuatan seperti mengumpat,bercakap keduniaan dan sebagainya.

8. Perkara yang diharuskan semasa beriktikaf

* Antara perkara yang boleh dilakukan semasa iktikaf seperti keluar iktikaf kerana menghantar ahli keluarga berdasarkan riwayat Safiyyah. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
* Begitu juga menyisir rambut, berwangi-wangian, memotong kuku, membersihkan tubuh, memakai pakaian yang terbaik.
* Dibolehkan makan minum, tidur, melakukan transaksi, perjanjian jual beli, akad nikah dan lain-lain lagi.
* Dibolehkan keluar iktikaf untuk keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti membuang air besar,melunaskan keperluan orang yang dibawah jagaannya,muntah tanpa keluar dari masjid dalam tempoh tidak lama,menjenguk orang sakit, menguruskan jenazah atas keperluan.
* Jika ada program sumbangan anjuran ISMA untuk membantu fakir miskin, melawat hospital atas keperluan, maka ia dibolehkan.
* Adapun bagi orang yang iktikaf nazar maka tidak dibenarkan menziarahi orang sakit, menjenguk jenazah dan berta’ziah

9. Perkara-perkara yang membatalkan iktikaf

* Keluar dari masjid tanpa ada keperluan walau hanya sebentar.
* Murtad
* Hilang akal
* Berjimak
* Keluar haid dan nifas.

10. Iktikaf Wanita

* Iktikaf wanita bergantung kepada izin suami. Iktikaf tidak wajib ke atas isteri sehingga suami mempunyai hak untuk melarangnnya.( Iktikaf sunnah)
* Jika iktikaf nazar dengan mendapat kebenaran suami pada waktu tertentu, maka isteri boleh masuk ke tempat iktikaf tanpa perlu dapatkan izin baru atau khusus dari suami.
* Jika iktikaf nazar dengan mendapat kebenaran suami pada tanpa waktu tertentu, maka isteri tidak boleh memulakan waktu iktikaf kecuali dengan izin suaminya.
* Apabila suami memberikan izin pada isteri melakukan iktikaf, maka dia tidak berhak mencabut izin tersebut baik iktikaf sunnah atau wajib . ( pendapat yang kuat)
* Menurut Mazhab Hanafi : wanita boleh melakukan iktikaf di masjid manapun sebagaimana dia dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid rumahnya. Namun, dia tidak dibolehkan untuk melakukan iktikaf di rumahnya di luar masjid di rumahnya atau di tempat yang disediakan untuk melakukan solat.
* Mazhab Hambali dan Syafie pula : Wanita dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid yang tidak digunakan untuk melakukan solat jamaah. Mereka tidak boleh melakukan iktikaf di masjid rumahnya kerana ia adalah ibadat yang dikhususkan dilakukan di masjid.Pendapat yang kuat adalah pandangan Hanafi. Wanita boleh beriktikaf di tempat solat di dalam rumahnya. (tempat yang khusus solat di dalam rumah).

11. Iktikaf Nazar

* Jika seorang bernazar untuk beriktikaf pada tempoh tertentu secara berturut-turut maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu.
* Sekiranya keluar tanpa keuzuran untuk perkara yang bukan dharuri maka hukumnya haram, iktikafnya terputus dan wajib memulakan iktikaf baru.
* Sekiranya dia bernazar untuk iktikaf dengan puasa maka dia mesti melakukannya dan ia adalah paling baik baginya.
* Sekiranya bernazar menentukan masjid tertentu untuk beriktikaf, maka tidak wajib beriktikaf di masjid itu.
* Jika dia terbatal, maka diwajibkan dia menyempurnakan bilangan hari iktikaf yang tersisa . (iktikaf yang tidak disyaratkan secara berturut-turut beberapa hari).
* Jika dia mensyaratkannya secara berturut-turut , maka dia harus melakukannya sekaligus secara berturut-turut.

Petunjuk Nabi SAW di dalam beriktikaf :

Dari Ibn Umar r.a telah berkata : “Adalah baginda Rasulullah SAW beriktikaf sepuluh akhir Ramadhan.” ( Muttafaquh alaih)

Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : ” Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun baginda diwafatkan”. ( Riwayat al-Bukhari).

Daripada Aishah r.a telah berkata : ” Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)

Rujukan :

1. Al-Mufassol fi ahkam al-Mar’ah : Dr. Abd. Karim Zaidan
2. Fiqh Sunnah : Sayyid Sabiq
3. Fiqh Manhaji : Dr. Mustafa Khin / Dr. Mustafa al-Bugho / Ali Asy-Syarbaji
4. Fiqh Muyaasar : Ahmad Isa ‘Aasyur.
5. Riyadhussolihin : Al-Imam Nawawi

10 September 2009

Bangunlah Untuk Solat Malam


Ibadah ini adalah ibadah yang sering ditinggalkan oleh kita. Sedangkan bila mana kita menghidupkan malam ini, kita memperolehi banyak manfaat dan ganjaran yang telah ALLAH janjikan.

Termasuk diri saya kadang kala lalai dengan urusan dunia hingga lupa untuk menghidupkan malam ini. Oleh itu saya seru diri saya dan diri anda untuk bangun menghidupkan malam ini. InsyaALLAH janji ALLAH itu pasti berlaku. Kita kena yakin dengan janji-janji Allah. Allah tidak akan mungkir janji.

Firman Allah swt, mahfumnya: "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah di tempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang di berikan kepadanya oleh TUHAN mereka.Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikkan . Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristigfar kepada ALLAH (memohon ampun)."- Surah al-Zariyat : 15-18

Apakah kehebatan bangun solat di malam hari terutama di sepertiga malam yang akhir? sehinggakan Rasulullah s.a.w. sanggup melakukannya sehingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah, sehinggakan juga Sallehuddin Al-Ayyubi memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin yang paling hadapan untuk menggempur musuh, sehinggakan juga Umar Abd Aziz berkata..."Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat" berulang-ulang.

Saranan Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a "....Kekasihku Rasulullah telah berwasiat kepadaku agar aku tidak tidur sebelum solat witir." (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a katanya; "Nabi s.a.w. berdiri untuk bersolat malam, sehingga pecah-pecah kedua tapak kakinya. Saya berkata kepadanya;" Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian ini, ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang dahulu dan yang kemudian?" Nabi s.a.w. lalu bersabda, "Tidakkah saya ini wajar menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur." (Muttafaqun 'alaih)

Dari Ibnu Mas'ud r.a katanya;" Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi s.a.w, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi - yakni tidak bangun untuk bersolat malam, lalu beliau s.a.w bersabda;" orang itu sudah dikencingi syaitan dalam kedua-dua telinganya" (Muttafaqun 'alaih)

Dari Abu Hurairah r.a katanya;" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi;" Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!" Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah ta'ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu', lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas." (Muttafaqun 'alaih).

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya, "Solat yang paling dicintai Allah ialah solatnya Daud dan puasa yang paling dicintai Allah ialah puasanya Daud. Ia tidur separuh malam, bangun solat yang sepertiganya dan tidur seperenamnya, Ia berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Muttafaqun 'alaih)

Dari A'isyah r.a pula bahawasanya Nabi s.a.w itu tidur di permulaan malam dan bangun pada akhir malam lalu bersolat." (Muttafaqun 'alaih)

Solat Paling Afdhal Setelah Solat Fardhu

"Solat yang paling afdhal setelah solat wajib adalah qiyamullail (tahajjud)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Waktu Mustajabnya Doa

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah ta'ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam." (HR Muslim)

Lebih Baik Dari Dunia dan Seisinya

"Dua raka'at yang dilakukan oleh seorang hamba di tengah malam itu adalah lebih baik baginya daripada dunia ini serta seluruh isinya." (HR Adam bin Abu Iyas)

Meningkatkan Darjat Di sisi Allah

“Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).

Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang."

“Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.” (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)

Ibadah Ahli Syurga

Firman Allah lagi dalam surah as Sajdah, ayat ke-16 dan 17 bermaksud: “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka."

"Orang-orang yang bertaqwa itu sedikit sekali tidurnya di waktu malam. Di waktu menjelang fajar pagi, mereka itu berdoa memohonkan pengampunan dan dari sebahagian hartanya dijadikan hak yang diberikan pada yang meminta dan yang kekurangan." [Surah Az-Dzaariyaat: 17-19]

Rasulullah s.a.w bersabda, "Hendaklah kamu semua menetapi solat malam, sebab yang demikian itu adalah perilaku orang-orang yang soleh sebelum kamu." (HR Tirmidzi)

Dari Abdullah bin Salam r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;"Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, bersolatlah di waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." (HR Tirmidzi).

Keteladanan Salafussoleh

Ibnul Qayyim Al-Jauzy melakukan solat malam, dilanjutkan dengan solat Subuh dan kemudian dilanjutkan dengan solat dhuha, setelah itu barulah beliau beranjak melakukan aktiviti-aktiviti yang lain. Lalu beliau berkata,"jika hal ini tidak aku lakukan maka sungguh sangat berat."

Dalam riwayat Ibnu Ishaq dan Ahmad dari Jabir bin Abdullah RA ia menceritakan, "Kami berangkat bersama Rasulullah s.a.w. pada perang Dzatur Riqaa'. Pada kesempatan itu tertawanlah seorang wanita musyrikin. Setelah Rasulullah s.a.w. berangkat pulang, suami wanita itu yang sebelumnya tidak ada di rumah baru saja datang. Kemudian lelaki itu bersumpah tidak akan berhenti mencari sebelum dapat mengalirkan darah para sahabat Muhammad s.a.w. Lalu lelaki itu keluar mengikuti jejak perjalanan Rasulullah s.a.w. Pada sebuah lorong di suatu lembah Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat berhenti. Kemudian beliau bersabda, "Siapakah di antara kalian yang bersedia menjaga kita malam ini?" Jabir berkata, "Maka majulah seorang dari Muhajirin dan seorang lagi dari Ansar lalu keduanya menjawab, 'Kami siap untuk berjaga ya Rasulullah'. Nabi Muhammad s.a.w berpesan Jagalah kami di mulut lorong ini. Jabir menceritakan waktu itu, Rasulullah bersama para sahabat berhenti di lorong suatu lembah.

"Ketika kedua orang sahabat itu ke ke mulut lorong, sahabat Ansar berkata pada sahabat Muhajirin, `Pukul berapa engkau inginkan aku berjaga, apakah permulaan malam ataukah akhir malam?' Sahabat Muhajirin menjawab;"Jagalah kami di awal malam, kemudian sahabat Muhajirin itu berbaring tidur. Sedangkan sahabat Ansar melakukan shalat. Jabir berkata, datanglah lelaki musyrikin itu dan ketika mengenali sahabat Ansar, musyrikin itu mengetahui bahwa sahabat itu sedang hirasah. Kemudian orang itu memanahnya tepat mengenai diri Ansar tersebut, lalu sahabah Ansar itu mencabutnya kemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian orang musrikin itu memanahnya lagi dan tepat mengenainya lagi, lalu sahabat itu mencabut kembali anak panah itukemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian untuk ketiga kalinya orang itu memanah kembali sahabat Anshar tersebut dan tepat mengenai dirinya. Lalu dicabut pula anak panah itu kemudian ia rukuk dan sujud. Setelah itu ia membangunkan sahabat Muhajirin seraya berkata, 'Duduklah kerana aku telah dilukai.' Jabir berkata, "Kemudian sahabat Muhajirin itu melompat mencari orang yang melukai sahabat Ansar itu. Ketika orang musyrikin itu melihat keduanya ia sedar bahwa dirinya telah diketahui maka ia pun melarikan diri. Ketika sahabat Muhajirin mengetahui darah yang melumuri sahabat Anshar, ia berkata, 'Subhanallah kenapa engkau tidak membangunkan aku dari tadi?' Sahabat Ansar.menjawab, Aku sedang membaca surah dan aku tidak ingin memutusnya. Namun, setelah orang itu berkali-kali memanahku barulah aku ruku' dan memberitahukan dirimu. Demi Allah SWT kalau bukan karena takut mengabaikan tugas penjagaan yang diperintahkan Rasulullah s.a.w. kepadaku nescaya nafasku akan berhenti sebelum aku membatalkan solat."'

Bagaimana dengan solat kita? Bagaimana mudah untuk bangun solat malam? Ayuh, kita lakukan pada malam ini dan malam-malam seterusnya sehingga ke akhir kalam kita, insyallah.

Petua dari Imam Al-Ghazali...

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.

3. Mengetahui dan menginsafi benar-benar keutamaan solat malam dengan mentadabburi selalu ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.

4. Meningkatkan rasa cinta kepada Allah, rasa cinta yang sebenar-benarnya. Istiqamah dalam beribadah di waktu malam itu merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih-Nya. Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.

Wallahu'alam bis'sowab

08 September 2009

Ayuh kita cari malam Lailatul Qadar!


Dua minggu telah berlalu umat Islam berpuasa, dan semalam kita dalam suasana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini amat penting bagi kita kaum Muslimin akan suatu peristiwa besar yang terjadi pada abad keagungan Islam yang lalu. Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu-satunya rahmat sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat (bersendirian) di Gua Hira’ pada malam Jumaat, bertepatan 17 Ramadan, iaitu tahun ke-41 daripada kelahiran baginda atau pada 6 Ogos 610 M.

Jika semalam kita telah berbicara tentang Nuzul Quran, amat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr yakni malam Lailatul Qadar, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Seribu bulan itu bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan lebih maka beruntunglah orang yang mendapat taufik untuk beribadat dalam malam tersebut, seolah-olah dia telah menghabiskan masa 83 tahun 4 bulan lebih dalam keadaan beribadat. Pada hakikatnya ini adalah satu nikmat yang besar bagi mereka yang menghargainya. Satu hadiah yang tidak tolok bandingnya.

Terdapat satu hadith dalam kitab Dure-Manthur yang diriwayatkan oleh Hazrat Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Lailatul Qadar hanya diberikan olah Allah swt kepada umatku sahaja." Umat-umat sebelum in tidak mendapatnya. Terdapat berbagai riwayat untuk menerangkan sebag pengurniaan ini. Dalam sesetengah hadith diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah melihat umur umat-umat terdahulu tersangat panjang sehingga mencecah ratusan tahun sedangkan umur umat-umat Baginda adalah tersangat pendek sekitar 60 hingga 70 tahun. Adalah tidak mungkin untuk mereka menyamai ibadat umat-umat terdahulu. Oleh itu Baginda yang dikasihi Allah swt telah tersangat sedih akan perihal ini. Untuk mengimbangi keadaan itulah malam tersebut telah dikurniakan oleh Allah swt.

Diketahui daripada sesetengah riwayat lain bahawa Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki Bani Israil telah menghabiskan 1000 bulan dengan berjihad di jalan Allah swt. Mendengarkan itu, para sahabat telah mula cemburu. Untuk mengatasinya Allah swt telah menurunkan malam Lailatul Qadar. Dalam satu riwayat yang lain pula dinyatakan bahawa baginda s.a.w. telah menyebut mengenai 4 orang, iaitu Hazrat Ayub a.s., Hazrat Zakaria a.s., Hazrat Hizqil a.s., dan Hazrat Yusha' a.s. yang masing-masing telah beribadat selama 80 tahun dan tidak menderhakai Allah swt walau sekelip mata pun. Perkara ini telah menjadikan para sahabat kehairanan. Lalu Hazrat Jibrail a.s. pun datang memperdengarkan surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

“(1) Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (3) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (4) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (5) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! ”

Demikian juga dalam surah ad-Dukhan ayat 3, Allah swt berfirman yang bermaksud:

“(Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).”

Meskipun kata-kata `malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan ‘penghormatan’ yang amat tinggi Ia dinamakan `malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan Jibril.

Penghormatan ini berlangsung semalaman suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar. Sengaja digambarkan oleh Allah s.w.t dengan kata `salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci, iaitu perdamaian.

Inilah suatu penghormatan yang begitu besar yang pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatul Qadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah s.w.t.

Apakah hikmah Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi s.a.w, Lailatul Qadar akan jatuh pada tarikh ganjil pada akhir bulan Ramadan, iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Ayuh sahabat-sabahat semua, kita berdoa kepada Allah swt agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar yang mana pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba Allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit. Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan. Amin.

Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hamba-Nya yang beribadat seperti sabda Rasulullah s.a.w:

“Barang siapa menunaikan ibadat pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Beberapa ulama muktabar antaranya Imam Nawawi dan Ibnu Hazm berpendapat bahawa malam lailatul qadar bergilir dari setahun ke setahun, misalnya jika tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan, tahun hadapan akan berlaku pada malam 23 Ramadan.

Jumhur ulama menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ubai ibn Kaab:

“Bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami menunaikan ibadat pada malam itu dan awal pagi 27 Ramadan, tandanya ialah matahari pada awal pagi dalam keadaan tenang, putih dan tidak pucat cuacanya,” (riwayat Tirmizi).

Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abas pula berijtihad bahawa malam Lailatul Qadar adalah malam ke-27 Ramadan berdasarkan penelitiannya terhadap rahsia surah al-Qadr. Beliau mendapati ada 30 perkataan dalam surah berkenaan dan perkataan ‘Salamun Hiya’ (Sejahteralah malam itu) terletak pada perkataan ke-27.

“Bagaimanapun, apa yang Nabi Muhammad s.a.w. tuntut bukanlah untuk mencari bilakah malam itu akan berlaku tetapi Baginda menyuruh supaya kita beribadat sebanyak mungkin pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Itu yang patut diperbetulkan dalam persepsi masyarakat dan diamalkan, malah sunnah Rasulullah, baginda sendiri menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan."

“Jika kita kita beribadat terus-terusan pada 10 malam terakhir Ramadan, maka kita pasti akan beribadat pada malam Lailatul Qadar malah kita tidak akan rugi apa-apapun jika beribadat pada malam selain malam itu.”

Justeru, seperti juga saranan Ibnu Qayyim, umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi segala dosa silam.

Dalam satu hadith, Aisyah r.a. berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah akan aku bacakan dalamnya?

Jawab Baginda: "Bacalah "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fuanni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)." (Hadis riwayat al-Khamsah).

Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: "Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doa kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab."

Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah.

Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doa dikabulkan Allah.

Allah swt selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Akhir sekali, amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati. Ibadat tidak sepatutnya pada Ramadan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.

Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan, akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah.

SUMBER : Al-Hikmah @ FAcebook
Copyright © 2010 DREWFM Enterprise