Your Ad Here
Al Jazeera | Animal Planet | Bloomberg UK | Bloomberg US | C-Span | DWTV | France24 | HudaTV | Islam Channel | Peace TV | Sky News UK | Dewan Rakyat | LIVE DEWAN RAKYAT dibawakan khas, jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang Isnin hingga Jumaat.
This is the 2nd version of infoKu. You can view our previous post by visiting our infoKu v1.0

Taukeh
-Mohd Refezal bin Mohd @ Anan
-Universiti Malaya
-Kejuruteraan Komputer

Krew Pena
-Muhammad Syakir bin Zakaria
-Universiti Malaya
-Kejuruteraan Mekanikal

-Muhammad bin Mohamed Kamil
-Royal Melbourne Institute of Technology
-Ukur Bahan

08 September 2009

Ayuh kita cari malam Lailatul Qadar!


Dua minggu telah berlalu umat Islam berpuasa, dan semalam kita dalam suasana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini amat penting bagi kita kaum Muslimin akan suatu peristiwa besar yang terjadi pada abad keagungan Islam yang lalu. Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu-satunya rahmat sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat (bersendirian) di Gua Hira’ pada malam Jumaat, bertepatan 17 Ramadan, iaitu tahun ke-41 daripada kelahiran baginda atau pada 6 Ogos 610 M.

Jika semalam kita telah berbicara tentang Nuzul Quran, amat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr yakni malam Lailatul Qadar, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Seribu bulan itu bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan lebih maka beruntunglah orang yang mendapat taufik untuk beribadat dalam malam tersebut, seolah-olah dia telah menghabiskan masa 83 tahun 4 bulan lebih dalam keadaan beribadat. Pada hakikatnya ini adalah satu nikmat yang besar bagi mereka yang menghargainya. Satu hadiah yang tidak tolok bandingnya.

Terdapat satu hadith dalam kitab Dure-Manthur yang diriwayatkan oleh Hazrat Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Lailatul Qadar hanya diberikan olah Allah swt kepada umatku sahaja." Umat-umat sebelum in tidak mendapatnya. Terdapat berbagai riwayat untuk menerangkan sebag pengurniaan ini. Dalam sesetengah hadith diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah melihat umur umat-umat terdahulu tersangat panjang sehingga mencecah ratusan tahun sedangkan umur umat-umat Baginda adalah tersangat pendek sekitar 60 hingga 70 tahun. Adalah tidak mungkin untuk mereka menyamai ibadat umat-umat terdahulu. Oleh itu Baginda yang dikasihi Allah swt telah tersangat sedih akan perihal ini. Untuk mengimbangi keadaan itulah malam tersebut telah dikurniakan oleh Allah swt.

Diketahui daripada sesetengah riwayat lain bahawa Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki Bani Israil telah menghabiskan 1000 bulan dengan berjihad di jalan Allah swt. Mendengarkan itu, para sahabat telah mula cemburu. Untuk mengatasinya Allah swt telah menurunkan malam Lailatul Qadar. Dalam satu riwayat yang lain pula dinyatakan bahawa baginda s.a.w. telah menyebut mengenai 4 orang, iaitu Hazrat Ayub a.s., Hazrat Zakaria a.s., Hazrat Hizqil a.s., dan Hazrat Yusha' a.s. yang masing-masing telah beribadat selama 80 tahun dan tidak menderhakai Allah swt walau sekelip mata pun. Perkara ini telah menjadikan para sahabat kehairanan. Lalu Hazrat Jibrail a.s. pun datang memperdengarkan surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

“(1) Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (3) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (4) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (5) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! ”

Demikian juga dalam surah ad-Dukhan ayat 3, Allah swt berfirman yang bermaksud:

“(Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).”

Meskipun kata-kata `malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan ‘penghormatan’ yang amat tinggi Ia dinamakan `malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan Jibril.

Penghormatan ini berlangsung semalaman suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar. Sengaja digambarkan oleh Allah s.w.t dengan kata `salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci, iaitu perdamaian.

Inilah suatu penghormatan yang begitu besar yang pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatul Qadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah s.w.t.

Apakah hikmah Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi s.a.w, Lailatul Qadar akan jatuh pada tarikh ganjil pada akhir bulan Ramadan, iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Ayuh sahabat-sabahat semua, kita berdoa kepada Allah swt agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar yang mana pada malam itu, ribuan malaikat bersiap sedia menunggu untuk mengangkat ibadat hamba Allah yang beribadat dengan penuh keimanan dan ketakwaan, dari alam dunia ke langit. Malaikat Jibril bersama malaikat lain turun ke bumi untuk mendoakan setiap manusia yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT pada malam itu dan Allah menyatakan kepada malaikat bahawa doa yang dipohon kepada-Nya ketika itu akan dimakbulkan. Amin.

Pada malam lailatul qadar itu juga, Allah memberikan nilai keampunan yang terlalu tinggi untuk hamba-Nya yang beribadat seperti sabda Rasulullah s.a.w:

“Barang siapa menunaikan ibadat pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah akan mengampunkan segala dosa yang sudah dilakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Beberapa ulama muktabar antaranya Imam Nawawi dan Ibnu Hazm berpendapat bahawa malam lailatul qadar bergilir dari setahun ke setahun, misalnya jika tahun ini berlaku pada malam 21 Ramadan, tahun hadapan akan berlaku pada malam 23 Ramadan.

Jumhur ulama menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan berdasarkan hadis daripada Ubai ibn Kaab:

“Bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami menunaikan ibadat pada malam itu dan awal pagi 27 Ramadan, tandanya ialah matahari pada awal pagi dalam keadaan tenang, putih dan tidak pucat cuacanya,” (riwayat Tirmizi).

Sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Abas pula berijtihad bahawa malam Lailatul Qadar adalah malam ke-27 Ramadan berdasarkan penelitiannya terhadap rahsia surah al-Qadr. Beliau mendapati ada 30 perkataan dalam surah berkenaan dan perkataan ‘Salamun Hiya’ (Sejahteralah malam itu) terletak pada perkataan ke-27.

“Bagaimanapun, apa yang Nabi Muhammad s.a.w. tuntut bukanlah untuk mencari bilakah malam itu akan berlaku tetapi Baginda menyuruh supaya kita beribadat sebanyak mungkin pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Itu yang patut diperbetulkan dalam persepsi masyarakat dan diamalkan, malah sunnah Rasulullah, baginda sendiri menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan."

“Jika kita kita beribadat terus-terusan pada 10 malam terakhir Ramadan, maka kita pasti akan beribadat pada malam Lailatul Qadar malah kita tidak akan rugi apa-apapun jika beribadat pada malam selain malam itu.”

Justeru, seperti juga saranan Ibnu Qayyim, umat Islam seharusnya memperbanyakkan ibadat pada malam itu dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat, bertahajud, memohon doa, bersedekah jariah, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi segala dosa silam.

Dalam satu hadith, Aisyah r.a. berkata: "Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu jika aku tahu Lailatul Qadar itu, apakah akan aku bacakan dalamnya?

Jawab Baginda: "Bacalah "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fuanni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)." (Hadis riwayat al-Khamsah).

Ulama tasauf yang juga ulama fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: "Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doa kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab."

Secara jelas dapat diperhatikan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah.

Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doa dikabulkan Allah.

Allah swt selalu membuka pintu untuk hamba-Nya mengadu, memohon dan berdoa kepada-Nya. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Akhir sekali, amalan mulia pada 10 malam terakhir Ramadan wajar diteruskan pada bulan lain, kerana ia boleh membentuk peribadi dan akhlak Muslim sejati. Ibadat tidak sepatutnya pada Ramadan saja kerana hubungan Allah dan umat Islam perlu sentiasa diperkukuhkan.

Sikap syukur kepada rahmat Allah akan mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan, akan membentuk peribadi Muslim yang takwa dan sujud kepada Allah.

SUMBER : Al-Hikmah @ FAcebook

0 ulasan:

Catat Ulasan

Tq for the comment.. :-)

Copyright © 2010 DREWFM Enterprise