Seorang anggota polis didakwa di mahkamah hari ini kerhubung kematian adik Aminulrasyid Amzah pada 26 April lalu.
Anggota polis berpangkat koperal itu, dihadap di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada kira-kira jam 12 tengahari ini.
Koperal Jenain Subi (kanan), 48, dituduh mengikut Seksyen 304A kerana menyebabkan kematian Aminulrasyid.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 1.10 pagi an 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, Shah Alam.
Jika bersabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Jenain tidak mengaku salah terhadap tuduhan dan minta dibicarakan.
Hakim M Gunalan membenarkan Jenain diikatjamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum itu, Jenain tiba di premis mahkamah pada jam 11.35 pagi dengan dikawal ketat oleh sepasukan anggota polis yang berpakaian biasa.
Sementara itu, Bernama melaporkan, timbalan pendakwa raya, Mohd Dusuki Mokhtar kemudiannya mencadangkan supaya Jenain dikenakan ikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin.
Peguambela Salim Bashir pula memohon supaya ikat jamin ditetapkan pada kadar yang berpatutan kerana Jenain mempunyai empat orang anak yang masih kecil.
Katanya Jenain yang masih lagi seorang anggota polis, tidak berpeluang untuk melarikan diri, dan mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa sekiranya beliau gagal membayar jaminan itu, beliau akan ditahan reman sehingga perbicaraan selesai.
Salim juga memohon kepada mahkamah supaya tidak terdorong dengan pandangan-pandangan masyarakat berhubung kes itu, dan menurutnya anak guamnya itu hanya mampu membayar jaminan antara RM6,000 dan RM7,000 sahaja.
Hakim M.Gunalan kemudian memutuskan supaya Jenain dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 10 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes.
Jenain yang menyertai pasukan polis pada 1985 sebelum ini pernah bertugas di mahkamah, dan semasa kejadian, beliau merupakan seorang anggota polis peronda di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam.
Sementara itu, Bernama turut melaporkan, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata keputusan untuk mendakwa nggota polis itu dibuat selepas beliau menimbangkan keterangan yang dikumpulkan
dalam penyiasatan yang dilakukan secara adil dan menyeluruh.
"Saya juga telah mengarahkan pegawai saya mengkaji kecuaian anggota lain pasukan itu dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mereka jika keterangan menunjukkan berlaku kecuaian," kata Gani dalam kenyataan.
Reaksi peguam keluarga mangsa
Sementara itu, peguam N Surendran dan Latheefa Koya yang mewakili keluarga Aminulrasyid, kesal kerana mereka tidak dimaklumkan yang Jenain akan didakwa hari ini.
Ekoran itu, kata mereka, anggota keluarga ataupun peguam mereka tidak dapat hadir di mahkamah hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, mereka mendakwa tindakan merahsia dan ketiadaan ketelusan itu sepatutnya tidak berlaku dan ianya tidak adil kepada anggota keluarga mangsa dan orang awam.
Mereka juga menyuarakan rasa kesa dan terperanjat bahawa tiada seorang pun didakwa atas tuduhan sama ada cubaan membunuh atau cuba menyebabkan kematian remaja 15 tahun, Azamuddin Omar.
Di samping itu, kata mereka, tiada seorang pun anggota polis lain yang berada dalam kereta pada malam kejadian, didakwa atas tuduhan bersubahat bagi sebarang tuduhan.
Surendran dan Latheefa berkata mereka amat kesal kerana menteri dalam negeri dan ketua polis negara masih belum memohon maaf kepada keluarga Aminulrasyid dan Azamuddin atas kejadian tersebut serta dakwaan yang tidak wajar menuduh kedua-dua remaja itu terbabit dengan jenayah.
Malaysiakini
0 ulasan:
Catat Ulasan
Tq for the comment.. :-)