Salam semua,
Ramai yang memberikan maklum balas samada di discussion board ini ataupun melalui email tentang artikel sebelum ini, yakni, "
Jenayah & maksiat 29 May 2009. Apa signifikannya?" Jadi apa yang nak kita lakukan, adakah sekadar membaca sahaja akan permasalahan tersebut. Atau ah! biarkan orang yang berwajib mengambil tindakan. Ah! biarkan mereka itu, "it's serve them right". Ah! itu bukan masalah saya.
Ini adalah masalah umat hari ini. Kita semua kena ada fikir bagaimana untuk mengatasinya sebelum terlewat. Oleh itu marilah kita mengambil iktibar dari kisah Wasiat Luqman Al-Hakim. Siapakah dia? Luqman Al-Hakim merupakan hamba Allah yang dimuliakan darjatnya kerana telah diceritakan didalam Al-Quran mengenai kisahnya.Hidupnya yang banyak beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan, kasih sayang dan khusyu' telah memberikan panduan kepada hamba Allah yang lain untuk menjadikan Luqman Al-Hakim sebagai insan biasa yang dimuliakan dirinya kerana ibadatnya.Menurut maksud Hadis Nabi Muhammad s.a.w:
"Seseorang itu dinilai dengan dua perkara: hati dan lidahnya"
Surah Luqman didalam Al-Quran banyak menceritakan mengenai perbualannya bersama anaknya yang mengisahkan nasihat-nasihat yang mulia bagi membentuk peribadi yang mulia bagi seorang hamba kepada Allah.Antara perbualannya atau wasiat yang dinyatakan oleh Luqman Al-Hakim kepada anaknya itu adalah:
1.Janganlah mempersekutukan Allah (Luqman,13)
2.Allah maha mengetahui segala-galanya (Luqman,16)
3.Dirikan solat (Luqman,17)
4.Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran (Luqman,17)
5.Sabar dengan bala yang menimpa diri (Luqman,17)
6.Jangan berjalan dibumi ini dengan sombong (Luqman,18)
7.Jangan memandang rendah orang lain (Luqman,18)
8.Rendahkan suara ketika berkata-kata (Luqman,19)
dan banyak lagi.Terdapat juga wasiat Luqman Al-Hakim yang termaktub didalam Kitab-kitab Tafsir.Antaranya:
1.Siapa yang menjadi penasihat bagi dirinya sendiri, maka Allah akan menjadi penasihat bagi dirinya.
2.Kepayahan dan kesusahan didalam ketaatan adalah lebih dekat daripada kesenangan dan kemewahan didalam kemaksiatan.
3.Pukulan(didikan) bapa kepada anaknya ibarat air untuk tanaman.
4.Sesiapa yang berdusta maka hilanglah air mukanya.
5.Sesiapa yang banyak berdusta maka banyak kesengsaraannya.
6.Bermesyuaratlah dengan ulama dalam urusanmu.
7.Berlemah-lembut adalah pokok segala hikmah.
8.Sesungguhnya kejahatan itu mencipta kejahatan yang lain.
terdapat banyak wasiat yang dinyatakan Luqman Al-Hakim didalam Kitab-kitab dan Al-Quran. Wasiat yang di nyatakan olehnya bukanlah hanya kepada anaknya semata-mata, kerana sebagai umat Islam kita hendaklah mengambil ilmu, hikmah dan teladan yang telah dinyatakan oleh Luqman Al-Hakim.
Maka, sebagai hamba kepada Allah kita hendaklah menjadikan Luqman Al-Hakim ini sebagai contoh teladan yang baik bagi merubah kehidupan kita daripada buruk ke baik dan baik kepada yang lebih baik lagi. Oleh itu marilahkita baca akan satu wasiat Luqman Al-Hakim yakni Wasiat Luqman Buat Ibu Bapa: Suatu Renungan untuk semua Ibu dan Bapa seperti saya dan isteri saya.
Wasiat turut memainkan peranan yang penting di dalam berdakwah. 'Bapa' memikul tugas yang amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Kita telah dihidangkan oleh Al Quran bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Dan sebagaimana yang dimaklumi sebuah surah khusus di dalam Al Quran diberi nama dengan nama Surah Luqman.
Ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui bahawa 'wasiat' yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya itu merupakan salah satu 'teknik' di dalam berdakwah.Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian,nescaya anak-anak akan lahir sebagai muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.
Bertuahlah sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak seperti mereka. Mempunyai generasi yang diibaratkan umpama purnama yang menerangi kegelapan malam. Wahai ayah dan ibu,wasiatkan kepada anak-anakmu sepertimana wasiat yang diajar oleh Luqman al-Hakim!!!
Dr.Wahbah Az-Zuhaili telah berkata di dalam bukunya 'Tafsir Munir':
"Al Baidhawi telah berkata bahawa nama Luqman sebenarnya ialah Luqman bin Ba'ura. Beliau bukannya nabi tetapi jumhur mengatakan bahawa beliau seorang yang bijaksana. Diberikan kepadanya Al Hikmah iaitu kelebihan pada akalnya,cerdik dan perkataan atau kalam yang dikeluarkannya memberi kesan kepada manusia. Nama sebenar anaknya ialah (mengikut As-Suhaili) An'am atau Asykam atau Matan atau Tharan"
Abd.Rahman Hassan Al Maidani berkata di dalam bukunya 'Fiqh Dakwah' bahawa di sana terdapat 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Luqman mendidik anaknya melalui 'wasiat'. Oleh itu marilah sama-sama kita menilai wasiat tersebut yang mengandungi 14 permasalahan penting buat umat Islam selepas ini.
U/P :
Tulisan berikut selepas ini berdasarkan terjemahan dan olahan melalui buku karangan Dr.Wahbah Az-Zuhaili dan Abd.Rahman Hassan Al-Maidani yang tersebut di atas.
Untuk memudahkan anda,sila rujuk terjemahan/tafsir Al Quran bagi ayat 13-19 Surah Luqman.
Permasalahan Pertama:
Perkara pertama yang diajar oleh Luqman kepada anaknya ialah jangan Syirik kepada Allah s.w.t.. Disebutkan di dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah s.w.t. adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa memelihara alam semesta ) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah). Atau dengan ertikata lain, mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu lain yang juga mampu memelihara alam semesta dan mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain yang juga layak untuk disembah. Inilah Syirik!!!
Meskipun syirik terhadap Uluhiyatullah lebih ringan dari syirik terhadap Rububiyatullah, akan tetapi Allah s.w.t. tidak akan mengampuni dosa orang yang mati dalam hal demikian!
Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya. Lagi sekali kita ingin mengajukan soalan. Mengapa syirik dikatakan zalim? Telah disepakati, bahawa Allah s.w.t.lah yang menciptakan makhluk semesta alam. Allah s.w.t. jua yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah s.w.t. ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah s.w.t. dengan kuasa yang lain maka ia telah melakukan kezaliman!!!
Allah s.w.t. sahaja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tak mampu dilakukan oleh kuasa lain. Tetapi jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman. aitulah meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya.
Inilah yang diperkatakan melalui ayat 13 surah Luqman yang bermaksud:
"Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah s.w.t.. Sesungguhnya mempersekutukan Allah s.w.t. itu adalah kezaliman yang amat besar."
Permasalahan Kedua:
Luqman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas anugerah nikmat-Nya yang tak terhitung luas dan banyak. Dan kesyukuran mengandungi erti: Balasan perbuatan yang indah dan baik dengan perbuatan yang juga baik dan indah. Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepadaNya dengan melakukan ibadat-ibadat seperti yang disyariatkan, mendekatkan diri kepadaNya, menuntut keredhaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepadaNya yang Maha Esa.
Memuji lebih umum dari bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji pabila bersifat dengan sifat atau sifat-sifat yang baik. Hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji. Dan peringatan 'kesyukuran' kepada Allah s.w.t. ini dikaitkan dengan pembalasan pada Hari Qiamat. Jika sekiranya kesyukuran itu kepada Allah s.w.t.,maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan siksaan di atas kekufuran dan keingkaran.
Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibubapanya...Bersyukurlah kepadaku dan...Kepadaku tempat kembali.".
Permasalahan Ketiga:
Luqman mendidik anaknya agar berterima kasih kepada ibubapa di atas susah payah dan jerit perih mereka membesarkan dan mendidik anak dengan segala macam pemberian dan kebaikan untuk anak tersayang. Tunaikan hak keduanya terutama kepada ibu. Kerana ibu bersusah payah menanggung penderitaan bermulanya dari proses mengandung sehinggalah melahirkan anak,menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama 2 tahun dan mentarbiyah anak siang dan malam.
Sesungguhnya ketaatan kepada ibubapa walaupun berlainan agama adalah wajib diikuti kecuali pabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan oleh Islam. Maka ketika itu haram mentaati perintah itu.
Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini. Terima kasih/kesyukuran kepada ibubapa datang selepas syukur kepada Allah s.w.t.. 'Logiklah' bahawa ucapan terima kasih/syukur ini pertama-tamanya buat Khaliq (pencipta). Selepas itu barulah diikuti pula buat makhluk yang didahului oleh ibu bapa yang tercinta.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 14 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kami wasiatkan (perintahkan)kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam 2 tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali"
Permasalahan Keempat:
Luqman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya dari mentaati ibubapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah s.w.t. dan segala macam perbuatan maksiat yang dilarang Allah s.w.t.
Akan tetapi sebagai anak,ibubapanya harus dilayani ,ditemani dan digauli dalam suasana yang penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan,menghormati dan berkhidmat kepada mereka.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kalau keduanya memaksa engkau supaya mempersekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui ,janganlah dituruti;dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut"
Permasalahan Kelima:
Luqman menasihati anaknya agar melalui jalan yang dilalui oleh mereka yang kembali bertaut kepada Allah s.w.t. dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus (jalan yang Allah s.w.t. anugerahkan nikmat kepada mereka).Bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang dimurkai Allah s.w.t. dan mereka yang sesat!
Mereka yang kembali kepada Allah s.w.t ini terdiri dari kalangan para Rasul, Nabi, orang benar dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka dengan keikhsanan dari kalangan orang mukmin.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan turutlah jalan orang yang kembali kepadaKu "
Permasalahan Keenam:
Luqman berpesan kepada anaknya supaya melakukan 'pemerhatian' tentang Hari Qiamat,urusan al- Qadha',pembalasan amalan serta melakukan pemerhatian terhadap segala arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Luqman yang bermaksud:
"Nanti kamu akan kembali kepadaKu dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"
Permasalahan Ketujuh:
Luqman menerangkan kepada anaknya akan 'syumul'nya Ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah s.w.t. bebas melakukan apa sahaja tanpa ada halangan. Allah s.w.t. mendatangkan sesuatu yang diinginkanNya dari segenap tempat yang tak mampu dibuat oleh makhluk.
Sesuatu kebaikan,kejahatan,kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh di dalam batu atau jauh berada di tempat yang tinggi seperti langit atau jauh berada di sedalam-dalam tempat seperti di dasar bumi akan didatangkan oleh Allah s.w.t. jua pada Hari Qiamat untuk dihisab / dihitung dan diberi ganjaran dosa atau pahala.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 16 surah Luqman yang bermaksud:
"(Kata Luqman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tesembunyi) dalam batu,di langit atau di bumi ,itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal-hal yang halus) dan Cukup Tahu"
Permasalahan Kelapan:
Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat/sembahyang kerana solat merupakan fardhu yang difardhukanNya melalui utusanNya di bumi( dari kalangan Nabi dan Rasul).
Selepas manusia ditegah dari syirik dan ditakutkan dengaan Ilmu Allah dan QudratNya yang tak dapat ditandingi oleh sesiapa,datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip Tauhid iaitu antaranya solat / bersembahyang. Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan yakinnya hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepadaNya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:
"Hai anakku! Dirikanlah solat/sembahyang "
Permasalahan Kesembilan:
Luqman menyuruh anaknya berbuat yang ma'ruf / kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini menunjukkan kepada kita bahawa arahan supaya menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dari 'tugasan' yang terkandung di dalam seruan Ilahi kepada Agama Islam semenjak dahulu lagi…
Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:
"Suruhlah mengerjakan yang baik,cegahlah perbuatan yang buruk"
Permasalahan Kesepuluh:
Luqman menasihatkan anaknya agar bersabar di atas segala perkara yang dibenci yang menimpa diri samada musibah itu datang dari Ilahi menguji diri,harta,suami isteri dan anak-anak. Atau musibah ini berpunca dari bertembungnya dengan masyarakat yang membenci pendakwah (pendakwah bersifat pembawa hidayat,pemberi ingatan ,pembaik pulih dan pelindung) apabila menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan apabila pendakwah mengajak manusia kepada Agama Allah iaitu Islam serta lain-lain bidang atau cabang-cabang kebaikan.
Dimulakan wasiat dengan arahan solat / bersembahyang dan ditamat dengan arahan supaya bersabar. Mengapa? Kerana solat tiang agama dan sabar merupakan asas kekalnya ketaatan sepanjang masa.
Secara jelas dapat difahami ,bahawa sabar menahan musibah ini tergolong di dalam 'perkara yang berhajat kepada kehendak yang kuat dari tahap keazaman'.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 17 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan berhati teguhlah menghadapi apa yang menimpa engkau;sesungguhnya (sikap) yang demikian itu masuk perintah yang sungguh-sungguh"
Permasalahan Kesebelas:
Luqman menasihati anaknya agar jangan takabbur dengan apa-apa pergerakan sekalipun yang menunjukkan kesombongaan dan ketinggian diri di depan manusia.
Luqman berpesan agar jangan memaling muka apabila bercakap dengan manusia kerna ia menunjukkan sifat takabbur dan menghina(merendah-rendahkan seseorang). Jangan takabbur dan merendah-rendahkan seseorang. Jangan memaling muka,membantah atau membangkang tanpa usul periksa. Akan tetapi sentiasalah tawadhuk(merendahkan diri) ,berlembut,manis bicara,senang diajak berbicara,seronok diajak berbicara,riak muka yang gembira,seronok ,ramah dan menjadi pendengar yang baik.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:
"Janganlah engkau memalingkan muka engkau dari manusia kerana kesombongan"
Permasalahan Kedua Belas:
Luqman nasihati anaknya agar tidak berjalan di atas muka bumi ini dengan menampakkan keseronokan yang amat sangat hinggalah akhirnya keseronokan ini melebihi had di dalam pergerakannya ,membezakan kelakuannya dengan manusia lain kerana ia mengandungi ciri-ciri berlebih-lebihan atau jauh dari kesederhanaan .Dengan ciri ini orang yang gembira ini akan menjadi takabbur dan sombong yang melebihi had syara'.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 18 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh!Sesungguhnya Allah tidak mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri"
Permasalahan Ketiga Belas:
Luqman menasihati anaknya agar bersederhana dan sekata ketika berjalan. Tidak terlalu perlahan hingga menampakkan kemalasan, kelambatan yang amat sangat sehingga menampakkan diri lemah konon-kononnya ingin dikatakaan 'zuhud'. Tidak terlalu laju sehingga menonjolkan sikap berlebih-lebihan serta tidak peduli kepada suasana sekeliling.Oleh itu sikap sederhana dan sekata di antara lambat dan laju merupakan tanda / lambang seseorang itu tenang,beraqal dan diri yang cergas dan sihat.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan besederhanalah dalam berjalan"
Permasalahan Keempat Belas:(terakhir)
Luqman menasihati anaknya agar merendahkan suara dan mencukupi suaranya didengari mengikut hajat atau keperluan pendengar. Inilah antara adab bersuara dan bercakap untuk keperluan.Diterangkan dalam wasiat ini ,bahawa mengangkat suara tanpa hajat/keperluan merupakan perkara yang dikutuk ,dikecam ,tidak disukai dan buruk. Contoh yang akan diberikan dalam ayat berikut ini bahawa seburuk-buruk suara adalah suara himar / keldai kerana suara himar / keldai awalnya suara mengeluh dan akhirnya suara menguak /melalak.
Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan lembutkan lah suara engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar"
Artikel ini diambil dari: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/wasiatluqman.htm
Semuga wasiat atau nasihat ini menjadi pedoman kita untuk menjadi insan yamg mulia disisi Allah swt dan juga memberikan kekuatan kepada kita untuk mengajak seluruh umat untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Apa yang baik itu adalah daripada Allah swt jua dan apa yang kurang itu adalah daripada kejahilan dan ketidakupayaan saya sendiri.
Waallahua'lam.
Sumber : Al-Hikmah @ Facebook